7
ASP Baihaqi membawa sebuah
fail. Kali ini sarjan Hairuddin tidak kelihatan mengekori. Mereka berdua
lazimnya akan ke meja itu hanya apabila mereka memerlukan penjelasan sesuatu,
selalunya daripada Nea atau Hasnitah. Tetapi semua tahu mereka baru sahaja
turun ke bawah tadi. Kini ASP itu kembali semula, berwajah serius pula.
Sebaik ketua pegawai penyiasat yang agak gempal
dan berkepala botak tengah itu merapati meja, Nea terus menyerang.
“How dare you, ASP! Benda serius macam ni nak
sembunyi dari kita orang?”
Baihaqi kekeliruan. “Benda apa?”
“ASP, apa yang keluar dari agensi?” Ariff
mencelah. “Benda tu mungkin dah on the way ke sini.”
“Hmm…” Baihaqi renung wajah cemas di depannya
satu persatu. Dia lalu duduk di kerusi. “Aku dah beritahu kau Ariff, tadi, aku
tak tahu. Kau nak aku cakap apa? Benda ni high level, atas pada kita punya gred
gaji. Aku kat sini pun sebab ikut arahan saja. Itu tugas aku.”
Semua kini diam.
“Kita buat something. At least…” Nea terhenti di
situ.
“Saya faham,” kata Baihaqi.
“Kita lari?”
“Habis cik Nea ingat ATM kat luar sana buat apa?
Sekarang semua dah tahu kenapa vila ni dikawal ketat. Saya rasa sebab tu lah.”
“Sini ada panic room?” soal Ariff.
Nea geleng. “Tak ada.”
“Boleh tolong duduk tak. Saya ada benda nak
tunjuk.”
Dengan teragak-agak, Ariff dan Nea kembali ke
kerusi masing-masing.
Baihaqi membuka
failnya. “Nih kami ada jumpa bahan terkini dan saya rasa yang ini lebih serius.
Ni, Hasnitah pi mana?”
“Ke tandas,” jawab Ariff. “So, kita ada lead
baru?”
“Bukanlah lead pembunuh, tapi benda yang menghantui vila ni sejak tadi.”
“Apa tu?”
“Accident komuter
kat Bangsar pagi tadi, angka kematian rasmi cecah 23 orang.” Baihaqi
mengeluarkan beberapa keping dokumen bersaiz A4 dan memegangnya. “Saksi
dalam komuter konsisten sebut fasal hantu, lelaki berjambang dan bunyi
tembakan. Ada sekumpulan saksi lain, beritahu mereka nampak sebuah SUV hitam
bergerak ke arah bertentangan sebelum menaiki divider jalan bawah ni, apa
nama... flyover, rail LRT tu untuk masuk ke lorong betul.”
“Itu saya, Nik, Hasnitah dan Zack,” jawab Nea.
“Ya, saya tahu
sebab SUV tu ada kat porch kat luar.” Baihaqi tenung Nea sebentar. Dia berdeham
betulkan tekaknya. “Sekarang ini saya nak beritahu apa yang korang tak tahu.
Sebab saya pasti... pemandu dan penumpang SUV tu tidak sedar kereta mereka ada
penumpang extra.”
“Penumpang extra?” Nea terkejut.
ASP Baihaqi meletakkan gambar-gambar beresolusi
sederhana itu ke tengah-tengah meja, dia susun sisi ke sisi ala kadar.
Gambar-gambar berwarna diambil di jalan raya itu buat Nik dan Nea tercengang.
“Kawan awak ke cik Nea?”
“Ooo... my heaven...”
omel Nea dalam ketidakpercayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan