Isnin, 3 Julai 2017

Mutan - Bab 8,9

8

Hasnitah tilik wajahnya tanpa tudung di cermin tandas. Muka putih itu pucat keletihan. Suasana bilik air mewah yang agak luas di belakangnya pula bersih dan kemas tetapi entah kenapa dia merasai udara di situ seperti terlalu statik. Sunyi yang sangat pelik. Kubikel tandas, tab mandi porselin coklat berbentuk telur, kabinet dan pasu putih di belakangnya seperti sedang menyembunyikan sesuatu.
Keheningan bubar apabila tiba-tiba dia dengar ada bunyi atas siling. Bunyi seretan, seperti engsotan ular. Dia melilau ke siling putih. Selang sekejap, keluar bunyi seperti ada binatang sebesar kucing berguling pula.
“Hish!”
Dia buat tak tahu. Dia terus menadah air paip dan membasuh mukanya. Dia perasan bunyi di siling dah tiada. Mukanya yang basah direnung. Wajah cantik ini adalah satu sumpahan, kata Nea tadi.
Sumpahan...
“Ptui!” dia ludah ke sinki.
Hasnitah tidak menyukai perkataan itu. Sudah seharian dia ditimpa malang yang membingungkan kerana sumpahan. Kakaknya pula hilang entah di mana. Hasnitah membasuh mukanya untuk kali terakhir sebelum dia berhenti dan menutup paip. Dia dongak melihat cermin dan sekilas dia perasan dia tidak berseorangan dalam tandas tu.
Sepantas kilat dia berpaling. Tiada…
“Kreekkk…” bunyi engsel pintu kubikel tandas bergerak.
“Siapa?” terpacul dari mulutnya.
Dia perasan ada seseorang melintas di belakangnya tadi. Tapi… hish… lengannya meremang. Dalam keadaan dia mula berdebar, bunyi engsotan di siling tadi kini kembali, kali ini lebih kasar bunyinya. Hasnitah mendongak, melihat lampu-lampu bulat downlight putih terang di siling. Sejurus, lampu itu padam.
“Allahu akbar!” dia bertakbir kuat.
Hasnitah memecut laju, mengarah ke pintu tetapi belum sempat dia sampai daun pintu ditutup kuat, membingit. Suasana menggelap. Hasnitah sudah terduduk ke lantai. Dadanya bergelora. Nafasnya tercungap. Dia kini kaku.
“Hisssss...” Cuping telinganya menangkap bunyi di belakangnya. Bau busuk keluar tiba-tiba dan dia dapat dengar di belakangnya, sesuatu sedang melangkah setapak demi setapak di lantai, menuju ke arahnya dalam keadaan perlahan.



9


Empat keping gambar yang ditunjukkan oleh ASP Baihaqi itu diambil melalui kamera litar tertutup yang dipasang di lebuhraya PLUS. Jalan yang lebar, kenderaan yang pelbagai dan banyak. Pada jarak sebegitu, jelas kelihatan seorang perempuan berbaju kurung ungu berambut panjang mengurai sedang berpaut ketat di atas bumbung SUV yang mereka naiki pagi tadi. SUV Lexus yang telah dipandu laju oleh Zack.
“Sebab tu dalang SUV takdi, magnetometer asyik bergetooor,” kata Nik.
“Ya, dan awak ingat, Nik, kereta Exora yang terbabas di Federal Highway tak pasal-pasal.”
“Haa... natang guh.”
“Dan kami check kat atas bumbung apa nama Lexus LX kat luar tu memang ada kesan darah kering,” kata ASP Baihaqi.
Ketua penyiasat itu tidak habis di situ. Dia mengambil dua keping lagi gambar dari dalam fail dan dicampak ke depan. Ini pula imej dirakam kamera dron ketika pulang dari aktiviti skodeng.
“Dron? Skodeng?” omel Nik, berkerut.
“Rumah ni ada dron, Nik,” kata Nea.
“Hok serupe Amareka?”
Nea tak pedulikan Nik lagi dan dia kini telah beralih kepada gambar baharu. Ia gambar pokok hutan landskap di sebelah Vila Quasar yang diambil dari atas udara. Menatap gambar-gambar itu, mereka tidak ambil masa lama untuk menjumpai hantu berbaju kurung yang sama kelihatan sedang merangkak mahu memanjat pagar dari luar.
“Oh my God.” Nea bangun. “Dia, dia... ada kat sini... betul kata Zack, jin ini akan ikut Hasnitah ke mana pun. Dia akan hantui Hasnitah sampai dia dapat apa yang dia nak…”
“Hmm...” ASP Baihaqi kelihatan berfikir. “Susah kerjaan halus macam ni. Kami polis, kami boleh tembak benda yang nampak. Kalau tak nampak macam mana nak tembak.”
“Tapi ni kamera nampak?” soal Nik.
“Itulah masalah dia,” kata Baihaqi. “Sarjan Hairuddin pun kata dia ada nampak hantu macam ni petang tadi kat dapur, kat belakang keris besar, tapi kami jejak tak jumpa kesan. Jenis boleh ghaib ni susah. Kami dah cari seluruh rumah tak ada. Segenap tempat kami dah geledah. Anjing pengesan tak jumpa apa-apa.”
“No,” kata Nea, “tak. Tak boleh. Dalam bab ni kita tak boleh percaya pada binatang. Dua spesies ni kawan baik.”
“Dang!” kedengaran pintu tandas dikatup kuat. Semua memandang ke arah tandas dengan serentak.
“Hasnitah!” jerit Nea.

Serentak dengan itu, semua mula panik. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Goodreads

Books I read

A Brief History of Time
Seven Habits of Highly Effective People
The Power of Now: A Guide to Spiritual Enlightenment
Hadith 40
ESQ Way 165
Lā Tahzan: Jangan Bersedih!
A World Without Islam
A History of God: The 4,000-Year Quest of Judaism, Christianity, and Islam
No god but God: The Origins, Evolution and Future of Islam
Muhammad: A Prophet for Our Time
Parallel Worlds: A Journey Through Creation, Higher Dimensions, and the Future of the Cosmos
The Road to Mecca


Khairi's favorite books »