Semua tahu neraka macam mana. Salah satu sebab mengapa Robert Langdon (atau Dan Brown sendiri) mengaku dirinya atheist, adalah dia tak dapat terima bagaimana manusia yang dilahirkan blur, diberi cabaran dunia, dan kalau salah dibakar pula di neraka. Bukan sekejap tetapi selama-lama. Bagi Dan Brown, hal itu sangat keterlaluan dan tak mungkin Tuhan tergamak buat lagu tu.
Atas rasa halus perasaan, ramai juga ulama sufi meluahkan pendapat bahawa 'abadan-abadaa' itu hanya kiasan, sebagai maksud begitu lama. Sebenarnya, pada hemat hati naluri mereka, semua manusia akan kembali ke syurga jua. Allah maha pengasih dan penyayang.
Orang kita suka gertak dengan neraka, tapi agak-agak la. Anak kalau selalu ditengking dan dihunus rotan, otak dia jadi sempit dan tidak kretif. Muda-mudi yang sedang bersemangat mahu beragama, cuba cerita benda manis-manis, riang-riang dan kebebasan maha luas yang Allah telusi di dalam Islam.
Allah menguasai segala, maka untuk Allah buat sebuah neraka sebesar stadium Shah Alam untuk seorang manusia yang jahat, dengki dan biadap, cukup mudah. Sekali petik jari sahaja. Maka fikir dalam hati, kalau kita nak bersependapat dengan Dan Brown, bahawa neraka itu tak wujud, sebenarnya kita menafikan kuasa Allah untuk menjadikan sebuah neraka untuk manusia. Anak kecil itu tahu abah dia takkan pukul dia sebab abah dia sayang dia, tapi sebab dia yakin abah dia takkan pukul dia lalu dia ketip telinga abah dia pakai ketip kuku, makan pelempang juga.
Allah maha kaya, maha kuasa. Allah tak perlukan kita untuk sujud di kaki Dia sebab dia tak perlukan apa pun dari manusia. Allah berikan kita kehidupan. Allah sayangkan semua manusia. Tapi kalau kita mati dengan segala jenis kejahatan, dicela semua manusia, makan pelempang juga nanti.
Kita taat pada ibu bapa bukan atas dasar takut seperti takut akan rimau. Kita bertaqwa kepada Pencipta bukan juga seperti itu. Taqwa adalah segan, rasa segan untuk buat dosa, rasa segan untuk cakap sombong, rasa segan untuk bangga akan pencapaian dunia. Kita terlalu sayangkan mak buat kita segan untuk minta duit nak beli majalah Ujang. Kita sayangkan ayah, buat kita segan nak susahkan ayah belikan basikal baru. Kita sayang mak dan ayah, maka apa saja mak dan ayah mahu pasti akan kita usahakan. Kita sayangkan Allah, Allah tak mahu apa-apa dari kita, tetapi sebagai manusia yang sudah evolve menjadi sebegini pandai, kita faham bahawa Allah mahu kita hidup baik-baik, tolong orang susah, bayar zakat, bina kejayaan, senangkan seramai boleh manusia dan sebagainya. Kalau kita bertaqwa dengan Tuhan, kita akan cuba jadi manusia paling baik, paling humble.
Bagi sesetengah orang, dunia ini tidak begitu menarik. Diri yang dilahir cacat. Yang buta. Yang menderita. Bersabarlah. Di sana nanti Allah sediakan semuanya. Di akhirat ada syurga, tempat kembali kita. Kita manusia yang sentiasa berbuat baik dan percaya kepada diri sendiri bahawa kita telah buat yang terbaik, maka di sana Allah tunggu dengan senyum.
Nak ke kita kalau Tuhan yang kita sayang, apabila kita mati nanti, kita jumpai Dia dengan wajah masam mencuka? Apatah lagi kalau langsung Allah palingkan muka daripada kita? Na'uzubillah.
Bersangka baik dengan akhirat. Gunakan kapisiti kita sebagai manusia moden untuk bina kejayaan, senangkan seramai boleh manusia, kurangkan kezaliman. Itu tugas khalifah. Akhirat nanti rehatlah. Semua ada. semua senang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan