10
Lampu dari luar masuk melalui jendela dan
turusnya menerangi sebahagian ruang tandas. Angin sejuk berhembus masuk
membelai rasa seram Hasnitah. Tangannya menggeletar tatkala dia mengengsot ke
dinding dan berpusing perlahan ke belakang. Dia kini melihat susuk legap seseorang
sedang meniarap, dengan lidahnya terjelir-jelir keluar masuk menjilat cecair di
lantai. Tekak lembaga itu berderam.
Allahu…
Akbar… Hasnitah
cuba sebut tapi lidahnya kaku.
Siling pula terus berbunyi engsotan. Matanya
merayap naik ke siling. Di pepenjuru sedikit gelap itu, rupanya ada kepala sudah
terjuntai menguraikan rambut terbuai. Darah pekat nampak meleleh dari kulit
kepala. Bau busuk mula menguasai dan seluruh tubuh Hasnitah kini kejang. Dia
harap sekarang ini dia pengsan tapi tidak.
Kepala itu menjulur, dua tangan pucat dilihat
menongkat di birai lubang segiempat siling. Puaka itu merangkak keluar. Jatuh
terhempas ke dalam kubikel tandas mengeluarkan bunyi hentaman, bergelimpangan. Makhluk hodoh itu kemudian merodok kepalanya ke bawah pintu kubikel. Ia
mula mengengsot keluar, mengheret daging tubuhnya yang lembik seperti mayat. “Herk...
kerrhh... hagg... ngii... ahh,” ia mengeluarkan bunyi. Seperti mahu menyebut
sihir.
Hasnitah
terus kaku. Buntang matanya melihat dua ekor hantu di hadapannya. Hantu lelaki
terus menjilat, terteleng-teleng. Hantu betina yang baru jatuh itu terus
mengengsot di lantai berjubin, mara. Baju kurungnya koyak rabak menampakkan
coli berwarna hitam. Fabrik ungu itu juga dicemari tompok-tompok hitam. Iaitu
darah yang telah kering. Mukanya teruk hampir Hasnitah tidak cam.
“Kakak...”
Bibirnya bergetar. Airmatanya meluncur keluar bersatu dengan pipi yang basah.
Hantu dari siling itu ialah kakaknya, Salsabila.
Walaupun rupa ngeri seakan mayat, ia masih bergerak, masih hidup. Kerongkongnya
bergerak-gerak, seakan cuba menyebut sihir. Seperti dalam komuter pagi tadi.
Cuma kali ini suaranya kedengaran pecah, mungkin tekaknya rosak.
“Heerkk... kerrhhh... hagg... ngii... ahh.”
“Kau lepaskan
kakak aku, setan. Bangsat punya iblis! Ya Allah...” Hasnitah menangis. “Kakak...
kenapa jadi macam ni...” Bagaimana kakak boleh sampai ke sini?
Semuanya bermula di Bangsar, awal pagi tadi.
Sewaktu melarikan diri dengan Zack selepas komuter yang mereka naiki bertembung
disabotaj puak ajaran sesat, kata-kata profesor itu cukup jelas. “Tak
perlu nak cari kakak awak, sebab dia yang akan cari awak.” Salsabila
yang telah bertukar menjadi seakan zombie, bangkit melutut dan menunduk di depan
Hasnitah.
“Kenapa buat kakak
aku jadi macam ni?!” Dia berteriak ke siling tandas. “Kau nak aku, kau ambil
saja aku, setan! Iblis!”
“Cepat.. cepat,
dalam toilet, dalam toilet!” kedengaran suara-suara lelaki dari luar.
“Ikh... Ikh...”
hantu di depannya kembali bersuara. “It, itah... ba.. bakhaya.”
Pintu
diketuk kuat. “Hasnitah! Buka pintu!”
Itah, bahaya? Hasnitah terkejut, berkerut,
melihat hantu yang berlutut di depannya itu. “ Kakak?”
Hantu lelaki berpakaian
polis tanpa seluar, yang menjilat pula dilihat terloncat-loncat sebelum
mencangkung seakan beruk tatkala mendengar suara bingit dari luar.
Bunyi ketukan kini meletup apabila pintu itu
sebenarnya dipecahkan. Sedas bunyi tembakan pistol bergema. Telinga Hasnitah
perit. Nafasnya tersedak. Buntang matanya melihat kakaknya telah terpelanting
ke pinggir dinding tandas selepas ditembak dari jarak dekat.
Itah bahaya? Dia masih bingung.
ASP Baihaqi dan Detektif Ariff mara mengacu
pistol.
“Itah, awak okey?” soal Nea yang masuk laju.
“Din!
Hoi Din!” jerit ASP Baihaqi. “Bukak lampu, bukak lampu.”
Nik pun turut masuk, tangannya sudah melaraskan
fokus kamera telefon pintar ke arah hantu.
“Lampu out, ASP,” jawab Ariff.
Bagaikan tidak terkesan dengan tembakan tadi,
Salsabila kembali bergerak, perlahan. Tangan kirinya merayap dan menolak
lantai. Rambutnya mengurai apabila dia cuba bangkit. Tangan kanannya kemudian
diraih, menjulang ke arah adiknya Hasnitah.
“Weih,” Nik
terkinja, “dia hidup lagi lah, hidup lagi! Adooiii!” dia menjerit apabila
lengannya digigit sarjan Hairuddin yang melompat ke arahnya tiba-tiba.
“Din
kenapa kau ni. Dah kena kau ni dah kena.” Baihaqi menarik Hairuddin yang rakus
mengerkah Nik sehingga telefon lelaki Terengganu itu jatuh bergelimpangan.
Ariff pula kembali mengacu ke arah Salsabila.
“Jangan,” Hasnitah
jerit, “jangan tembak kakak aku...”
“Dia setang, gile,
bukang kakok mung,” kata Nik yang sedang bergelut memegang rontaan Hairuddin
dibantu ASP Baihaqi.
Hasnitah menangis, terjelapak ke lantai. “Jangan
tembak kakak aku.”
Dalam keadaan yang kalut itu, tidak semena-mena, “DUMMM!”
kedengaran kuat. Semua terkejut, tercengang kerana masing-masing tahu bala yang
mereka takuti kini sedang bermula.
“Bunyi kat luar tu, bom ke apa,” kata Ariff.
“Dah
sampai?”
Baihaqi
mereguk liur.
Sejurus, bunyi bedilan senapang pula bermula dan
merebak ke seluruh alam. Letupan kedengaran lagi, dan lagi. Tiba-tiba, vila itu
bergegar seakan dirempuh sesuatu yang besar. Semua di situ terhuyung hayang.
Hasnitah terguling, terhantuk kepalanya ke bucu kaki sinki sampai pengsan dia.
Nea tercampak ke belakang.
“ASP,
Hasnitah pengsan,” kata Nea cemas.
“Korang cepat pergi angkat,” jerit Baihaqi.
Serentak dengan itu ketiga-tiga pegawainya bergegas merapati
Hasnitah yang tertiarap di lantai di kaki kabinet sinki. Mereka bekerjasama
membawa gadis VVIP mereka keluar daripada situ. Hairuddin yang kerasukan itu
pula masih bergelut dengan Nik entah kenapa.
“Bahaya...” kedengaran berdesis, seperti hembusan
suara pelesit dekat di telinga.
“Huh?” Nea tertoleh. You’re talking to me?
Vila bergegar lagi bersama bunyi dentuman kuat.
Sekali lagi Nea tercampak. Kali ini dia tersungkur betul-betul di sebelah
Salsabila yang busuk seperti mayat.
“Baa… khaa… yaa…” kerongkong hantu itu gigih
bercakap.
Nea pandang muka Salsabila. Dia cakap bahaya?
Wait, which side are you? Persepsinya pada hantu itu mulai berubah.
Muka itu memang teruk tapi riaknya sayu seakan merayu. She’s harmless,
fikir Nea. Dia terlihat jari telunjuk Salsabila pula, dekat di depan hidungnya.
Hujung jari telunjuk hantu itu lebam kehitaman barangkali sebab berpaut lama di
kereta, atau terkapit ketika pelanggaran komuter. Mungkin. Tapi hujung jari itu
juga ada kesan darah kering, terutamanya celah kuku.
Oh
my God... Jantung
Nea berdebar. “It was you.”
“Ba...kha...ya…”
“You wrote the note, you want me to look after
Hasnitah… but why?”
Gambaran scene jenayah di kamar yang disusun
dalam kepalanya kini berubah seratus peratus. Nea faham nota itu ditulis pihak
ketiga, tapi dalam imaginasinya dia membayangkan susuk lelaki seperti Lakhus menulis
nota itu di meja. Tapi tidak. Selepas membunuh, lelaki itu terus terjun keluar.
Sama macam dalam mimpinya sebentar tadi. Salsabila yang selepas itu masuk,
mengosongkan barang dari atas meja dan menulis nota guna jarinya.
“Baa… kha… yaa.”
“Bahaya apa?” Nea mengikuti telunjuk hantu itu
mengarah ke luar. “Ada apa di luar sana?” Atau sebenarnya jari itu menunjuk ke
arah… Nik? Ya, telunjuk itu ke arah
Nik. Apabila Nik yang bergelut dengan Hairuddin itu berganjak, telunjuk itu
turut bergerak.
Nea berpaling ke Salsabila. Dia berkerut. “Nik?”
“Huurrmmm…”
Apabila dia menoleh semula ke arah Nik. Lelaki
terengganu kurus itu kini berjaya menggagahi Hairuddin, mengilas tangan polis
itu yang terdongak-dongak kejang seperti orang kena sawan, mengangkat polis itu
tinggi… yang buat mata Nea meluas dalam kejutan… kemudian sepenuh tenaga, Nik
menghumban susuk Hairuddin ke lantai.
Di depan mereka, Nik kini tercegat, wajahnya murung
yang sangat pelik.
Nea
mulai gagap. “Nik… Are… you o…okay?”
Ekspresi muka Nik semakin jelik. “Kheh kheh
kheh,” suaranya berubah. Lelaki itu mula berguling di lantai menggaruk rambut
kerintingnya. Matanya mulai terbeliak mengeluarkan darah. Perutnya
berombak-ombak seperti ada binatang di dalam itu. Urat biru timbul berselirat
di mukanya, air liurnya mulai keluar berjejer.
Tidak seperti Hairuddin tadi yang kerasukannya
seperti lelaki terencat, kerasukan Nik nampak ganas dan gagah. Ini jin lain, fikir Nea. Nik melompat
tinggi seperti serigala, melepasi Nea, menuju ke pintu keluar.
Nea merangkak ke pintu. Tidak dia tahu apa yang
dia rasa sekarang ini. Otaknya lumpuh. Melalui pintu tandas, dia lihat
bagaimana Nik menerkam ke arah kumpulan polis yang sedang mengangkat Hasnitah
di foyer. Ariff dan team Baihaqi melawan tapi Nik menggila seperti babi hutan.
Semua orang dia sondol dan kerkah. Tenaganya luarbiasa. Sehingga akhirnya dia
berjaya merampas Hasnitah.
Terkulai gadis itu pengsan di rangkulan Nik.
Ariff,
Baihaqi dan beberapa pegawai lain dilihat cuba untuk menyerang Nik lagi tapi
masing-masing tiba-tiba terdiam kaku. Mula-mula Nea tak tahu kenapa, tapi
selepas itu dia pun nampak. Di belakang Nik, kamar bacaan sudah hancur
berlohong gelap. Kegelapan lohong itu bukan malam, tapi susuk binatang. Nea
menyedari hanya selepas binatang itu menampakkan matanya.
Dia terkedu. “What the hell is that...”