Allah beri dunia kepada kita sebagai tempat bermain, mengumpul harta dan anak-pinak sebelum akhirnya kita mati pergi ke satu tempat yang cukup rahsia.
Lihat saja sebiji Bumi yang dikelilingi alam semesta, kita dah boleh rasa betapa kasihnya Allah kepada ruh-ruh manusia, kepada kita semua tak kira kita syukur kepadaNya atau pun yang kufur.
Allah tidak pernah memberikan satu bebanan kepada makhlukNya, jika ia di luar kemampuan makhluk itu. Lihat saja binatang seperti harimau, kuda, cacing yang semuanya dilengkapi sistem kendiri hidup yang bersesuaian dengan persekitaran habitat mereka. Dan setiap ciptaan evolve menjadi lebih maju apabila ekosistem berubah dari zaman ke zaman. Ini janji Allah dalam Quran. Sehinggalah muncul ciptaan paling baik dalam hirarki genetik, manusia, yang mampu hidup di darat, laut, dasar laut, di Artik, di gurun, mahupun di ruang vakum tanpa graviti dan oksigen - angkasa.
Daya survival sebegitu hebat takkan dicapai jika manusia ada kepercayaan syirik lalu Allah menegah kita daripada melakukan syirik.
Apa itu syirik? Syirik adalah menyekutukan Allah, percaya kepada batu atau kayu sebagai tuhan, percaya adanya tuhan lain selain Tuhan yang benar itu, lazimnya dalam bentuk objek seperti patung, matahari, pokok dan juga manusia.
Syirik melahirkan amalan khurafat seperti memuja kubur, memasang tangkal dan meletakkan kudrat penyembuh kepada satu benda yang tak mampu, scientifically, mengubatkan.
Meletakkan kepercayaan kepada panadol untuk meredakan demam bukan syirik.
Jika satu hari anda berkata, "makanlah panadol nanti sembuh demam." dan seorang sahabat tawaduk calon program Ustaz Muda anda berkata, "bukan panadol yang menyembuhkan tapi Allah." Anda boleh tempeleng pipi dia cakap yang tempeleng itu bukan aku tapi Allah. "Tapi itu kan tangan kau?" katanya bengang.
Kau jawab. "Kalau tangan aku boleh buat pipi kau sakit, panadol pula boleh bagi demam kau sembuh. Dua-dua Allah yang tentukan."
Statement dia yang menyembuhkan itu Allah sudah betul, tapi pemahaman dia terhadap konsep Tuhan, ciptaan dan fungsi ciptaan itu salah.
Bumi ini dijadikan Allah. Tubuh badan kita dijadikan Allah, dan semua jenis haiwan, bakteria, virus, kulat, mikroorganisma serta tumbuh-tumbuhan... semuanya dijadikan Tuhan yang benar itu dengan ukuran-ukuran tertentu. Ciptaan Tuhan berfungsi mengikut aturanNya. Meingkari peraturan Tuhan yang satu adalah Syirik. Atau kita mempercayai adanya tuhan lain yang mampu memberi kita satu kaedah pelik, kaedah luar logik, atau kaedah luarbiasa untuk mendapatkan sesuatu... itu adalah syirik.
Mengikat kayu tangkal pada lengan bukan cara yang Allah tetapkan untuk mengubat hipatetis B. Itu syirik.
Allah telah menjadikan di bumi ini sejenis vaksin yang apabila disuntik ke dalam tubuh manusia, manusia itu akan terhindar daripada hepatitis B. Allah takkan uji manusia dengan satu perkara yang manusia tak boleh manage. Setiap kali muncul penyakit, manusia pasti akan ada cara untuk mengawalnya atau mengubatnya berdasarkan kaedah yang Allah sisipkan dalam ciptaan alamNya.
Kita juga syirik jika menggantung ayat seribu dinar di dinding kedai makan dan berharap potong-potong ayat itu mampu bagi untung lebih.
Kita juga syirik jika malamnya kita berdoa agar Allah bagi jawapan bocor dalam paper Kimia besok, dengan cara yang tiba-tiba atau magis.
Syirik amat halus, kerana walaupun kita yakin apa yang kita lakukan itu kelihatan menurut agama, gantung ayat bukan tangkal, namun selagi iktiqad dalam hati terhadap aturcara penciptaan Allah salah, kita tetap salah. Agama bukan sebutan, agama adalah praktik dan paradigm dalam hati. Struktur kepercayaan kita terhadap Tuhan, alam dan hal-hal ghaib mesti betul mengikut apa yang dinyatakan dalam kitabNya.
Ramai orang sangka mereka beragama sedangkan sebenarnya mereka syirik kerana konsep kepercayaan mereka terhadap suruhan Tuhan salah, walaupun mereka menyebut nama Tuhan yang betul. Lalu kita melihat kecelakaan melanda mereka di mana-mana.